Friday, 2 December 2011

Pelaksanaan pengajaran dalam Matematik (Bahagian 3)

3. Analisis

Satu teknik pengajaran , di mana sesuatu konsep dipecahkan kepada beberapa bahagian kecil mengikut langkah-langkah penerangan. Kaedah ini menghendaki pelajar perlu mengetahui 'kenapa' sesuatu langkah atau algorithma iu dilakukan. Teknik ini dapat menyediakan proses kefahaman yang lebih mendalam terhadap sesuatu konsep. Pelajar tidak hanya mengetahui 'bagaimana' jawapan diperolehi , bahkan mereka dapat menjelaskan 'kenapa' sesuatu prosedur itu dilakukan. Kefahaman jenis ini sering kali disebut sebagai 'relational understanding' ( Skemp, 1987), atau 'conceptual understanding' (Resnick & Ford, 1981; Hiebert, 1992; Desforges & Cockburn, 1987), atau 'perceptual interpretation' (Cooney, 1992). Berikut adalah satu contoh penggunaan teknik analisis dalam soalan bentuk mekanis:

24 x 36

= (20 + 4) x 36 cerakinan

= (20 x 36) + (4 x 36) Hukum taburan

= [20 x (30 + 6)] + [4 x (30 + 6)] cerakinan

= [(20 x 30) + (20 x 6)] + [(4 x 30) + (4 x 6)]hukum taburan

= 600 + 120 + 120 + 24 kemahiran pendaraban

= 600 + 100 + 20 + 100 + 20 + 20 + 4 cerakinan

= 800 + 60 + 4 kemahiran menambah

= 864

4. Kaedah eksperimen / kerja praktik

Kaedah eksperimen atau kerja praktik boleh ditakrifkan sebagai suatu aktiviti yang mempunyai tujuan untuk mendapatkan hasil daripada kerjanya. Dalam pengajaran matematik, kaedah eksperimen ialah suatu kaedah di mana pelajar dilatih menggunakan alat bantu mengajar untuk memahami konsep dan menguasai sesuatu kemahiran. Kaedah ini juga boleh digunakan untuk menguasai kemahiran dalam penyelesaian masalah matematik. Dalam pengajaran dan pembelajaran matematik, kaedah eksperimen telah digunakan secara meluas. Berikut adalah contoh aktiviti yang menggunakan kaedah eksperimen:

  • Menyukat air dengan menggunakan bekas dan selinder penyukat untuk mempelajari isipadu cecair
  • Membimbing murid melipat dan melorek bahagian kertas untuk mengenali pecahan.
  • Menyusun jubin dalam bentuk segiempat yang berbagai saiz untuk menemui luas segiempat tepat.
  • Mengagihkan sebilangan biji gulu ke dalam beberapa bekas yang disediakan untuk memahami konsep bahagi atau purata.

5. Eksposisi atau ' Direct Instruction '

Satu kaedah di mana guru banyak menerangkan isi pelajaran secara lisan atau dengan menggunakan alat bantu seperti audio visual. Murid akan mendengar dan merekod maklumat penting yang diterangkan oleh guru sebelum melakukan sesuatu aktiviti. Kaedah ini juga sering disamaertikan dengan 'systematic teaching', 'explicit instruction', 'explicit teaching', and ' active teaching' (Husen & Postlethwaite, 1970). Penyampaian dengan menggunakan kaedah eksposisi melibatkan:

  • penerangan dan penghuraian idea dan konsep matematik yang akan dipelajari sama ada dengan atau tanpa alat bantu mengajar.
  • demonstrasi cara melukis atau membuat sesuatu pembinaan geometri.
  • penerangan langkah-langkah penyelesaian sesuatu masalah matematik.

Kaedah eksposisi amat sesuai digunakan untuk mengajar konsep dan kemahiran dalam peringkat perkembangan atau membuat penerangan tentang sesuatu peraturan sebelum melakukan aktiviti permainan. Masa pengajaran dapat dijimatkan dan pengendalian aktiviti akan lebih kemas dan teratur. Walau bagaimanapun ianya perlu dirancang dengan teliti supaya pelaksanaannya tidak menimbulkan rasa bosan dan mengalih perhatian pelajar daripada bahan dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah disediakan. Penggunaannya perlu tepat dengan masa dan keadaan.



6. Persembahan kreatif dan inovatif pelajar

Dalam kaedah ini, para pelajar didedah dan digalakkan mengguna bahan-bahan terancang, projektor, komputer, filem komersil dan bahan audio visual yang tidak melibatkan kos yang tinggi. Guru akan bertindak sebagai pembimbing, pemerhati di samping menyelia suasana kelas dan pembelajaran. Aktiviti dilakukan dalam bentuk individu atau kumpulan, bergantung kepada masa, peralatan, kos perbelanjaan dan sebagainya. Penilaian boleh dibuat untuk menentukan kekuatan dan kelemahan persembahan serta bahan yang disediakan. Sumbangan dan hasil kerja yang kreatif dan inovatif menjadi objektif utama. Penglibatan dan sokongan ibu bapa adalah digalakkan.

7. Persembahan dengan audio dan / atau visual

Kaedah ini melibatkan alat pandang dengar seperti overhead projecter, komputer dan sebagainya. Guru-guru akan mempamirkan bahan-bahan yang telah disediakan untuk menerangkan sesuatu konsep atau contoh bagi setiap kemahiran. Pada hari ini, penggunaan komputer dengan kemudahan multimedia dan internet banyak membantu proses pengajaran dan pembelajaran (Tg. Zawawi, 1997b).

8. Permainan dan simulasi

Permainan adalah satu kaedah pengajaran yang akan dapat mengembangkan daya kreativiti dan memupuk minat terhadap matematik (D' Augustine, 1973; Sobel &Maletsky, 1972). Ianya juga akan dapat mengurangkan rasa bosan dan jemu, khusus semasa menyelesaikan pelbagai masalah matematik. Penggunaan aktiviti permainan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam dan luar bilik darjah adalah berlandaskan prinsip ' bermain sambil belajar '. Penyelesaian bagi beberapa masalah dalam matematik boleh ditunjukkan melalui aktiviti permainan dan simulasi, khususnya masalah yang melibatkan aplikasi kehidupan seharian. Simulasi juga sering digunakan untuk menerangkan jawapan atau penyelesaian dalam rekreasi matematik.

Math is more than rote memorization and practice. Math is a creative activity, like drawing or writing or playing basketball. In fact, one of the best definations of creativity that I have heard says that " creativity is play"

( Flansburg, 1994: 17)

PENGURUSAN BILIK DARJAH

Pengurusan bilik darjah ialah suatu aspek yang penting dalam melaksanakan sesuatu pengajaran.Seseorang guru itu perlu
tahu cara menyusun tempat duduk pelajar dan peralatan bilik darjah, mengurus pergerakan pelajar didalam kelas, dan mengawal disiplin pelajar di dalam kelas supaya pengajaran dapat bejalan dengan lancar. Ada guru yang menekankan penyediaan bilik darjah yang selesa untuk belajar serta mewujudkan hubungan dua hala yang mesra. 

Kajian Kounin (1970) terhadap pengurusan bilik darjah menunjukkan terdapatnya perubahan tumpuan daripada menekankan strategi disiplin kepada strategi pengurusan bilik darjah secara proaktif atau preventif. Kedua-dua strategi mengambil pendekatan bersifat mengelakkan sesuatu kejadian yang tidak diingini daripada berlaku dan tidak semata-mata mengenakan hukuman kepada pelajar. Didapati kebanyakan pengurus bilik darjah yang berkesan adalah mereka yang mengamalkan strategi preventif.Banyak lagi aspek pengurusan bilik darjah yang perlu diterokai oleh guru untuk melaksanakan pengajaran secara berkesan. 
Menurut Levin dan Nolan (2004) pula, memberi tumpuan aspek keberkesanan dalam pengurusan bilik darjah itu sendiri. Mereka berpendapat bahawa kedua-dua aspek arahan dan pengurusan merupakan proses yang mempunyai tujuan di mana tindakan serta sikap guru itu bertindak untuk memudahkan objektif yang ingin dicapai oleh guru itu sendiri dalam pengajaran dan pembelajaran. Secara ringkasnya, matlamat dalam memberi arahan merupakan kaedah yang terus membantu dalam pencapaian akademik pelajar. Dalam pengurusan pula, bertujuan untuk memupuk dan memelihara tingkah laku pelajar yang menerapkan arahan yang efektif dan efisien. Aspek pengurusan bilik darjah dan tingkah laku pelajar amat penting bagi guru dalam menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar. Guru perlu memahami konsep pengurusan bilik darjah, faktor yang mendorong wujudnya masalah disiplin dan cara menangani masalah yang timbul bagi memudahkan tugas seorang guru apabila masuk ke bilik darjah. RENUNG-RENUNGKAN, SELAMAT BERAMAL...



Kaedah-kaedah Pengajaran Khas Matematik

1. Pengenalpastian masalah matematik dan tahap kebolehan pelajar

  • Pemerhatian : daripada pemerhatian, guru dapat mengenal pasti masalah pembelajaran murid melalui tingkah laku dan penglibatan murid dalam aktiviti P&P Matematik.

  • Ujian Kertas dan Pensel :

1.     Ujian saringan – untuk mengesan murid pemulihan.

2.     Ujian diagnostik untuk mengenal pasti punca masalah / mengesan kemahiran tertentu yang belum dikuasai oleh pelajar.

3.     Ujian formatif – untuk mengesan kemahiran yang telah dikuasai oleh murid setelah sesuatu kemahiran diajar.

4.     Ujian sumatif – untuk mengetahui sejauh mana penguasaan murid selepas sesuatu unit atau tajuk pengajaran telah dilakukan.

5.     Latihan harian.

6.     Soal jawab

7.     Pentaksiran rekod prestasi

8.     Rekod profil dan kesihatan

2. Pengaplikasian teknik khas dalam pengajaran matematik

i. Teknik penyoalan

  • Lisan.
  • Bahasa yang digunakan mestilah boleh difahami
  • Soalan mesti tepat dan cepat, mendorong pelajar berfikir.
  • Soalan hendaklah bertumpu dan bercapah.
  • Soal mengikut aras murid dalam kemahiran yang sama.

ii. Teknik permainan – kooperatif, berkumpulan, berpasangan, individu,

  • Antara perkara yang perlu diambil kira dalam teknik ini ialah permainan tersebut dapat menguatkan kemahiran menyusun nombor, menguatkan kemahiran operasi nombor, menguatkan kemahiran operasi tambah dan tolak

iii. Teknik tunjuk cara

iv. Teknik latih tubi (pengulangan fakta)

  • Lisan – congak
  • Bertulis – lembaran kerja
  • Membolehkan pelajar mendengar dan melihat serta membantu merangsang minda pelajar berfikir untuk memproses fakta dan menjawab soalan.

v. Teknik main peranan
vi. Teknik bercerita
vii. Teknik inkuiri penemuan
viii. Teknik kuiz