Thursday, 8 December 2011

Penelitian terhadap kurikulum dan bahan matematik

Penelitian terhadap kurikulum pendidikan matematik sesebuah sekolah, bukanlah tugas dan tanggungjawab utama seseorang pendidik matematik. Walau bagaimanapun pada masa-masa tertentu, seorang pendidik matematik mungkin dikehendaki memilih bahan pengajaran dan pembelajaran untuk kelas matematik. Untuk pemilihan yang rasional, setiap pendidik matematik seharusnya dapat mengenalpasti dan mempertimbangkan:

  • Objektif kurikulum matematik
  • Skop dan aliran carta
  • Kriteria penilaian untuk memilih bahan
  • Trenda dan penyelidikan dalam sistem pendidikan yang sedia ada.

Kurikulum meliputi kandungan dan aktiviti, yang sekali gus berkait rapat dengan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran (Collis, 1986; Blane; 1986; Haris, 1991). Meneliti dan memahami kurikulum bermakna meningkatkan penguasaan dalam strategi pengajaran dan kepekaannya terhadap keperluan pelajar dan pembelajaran. Selain daripada perancangan dan pelaksanaan pengajaran, penelitian terhadap kurikulum juga diperlukan semasa penyediaan bahan dan aktiviti penilaian, sama ada penilaian berpusat atau pun penilaian berasaskan sekolah (PKBS).

Pengurusan bilik darjah ( Bahagian 2)

Sifat seorang pengurus yang mahir dan berkesan adalah penting bagi seseorang pendidik. Pengajaran yang berkesan amat bergantung kepada pengurusan bilik darjah yang cekap dan terpimpin. Pengurusan bilik darjah yang berkesan bergantung kepada beberapa faktor :

  • Teknik kawalan kelas
  • Penjagaan dan penyusunan rekod
  • Komunikasi yang baik antara guru dan ibubapa
  • Etika dan perhubungan yang profesional
  • Aktiviti kumpulan yang berkesan
  • Situasi pembelajaran dalam bilik darjah
  • Masalah khusus berhubung dengan kemanusiaan

Bilik darjah yang sempurna akan mementingkan demokrasi dan disiplin sebagai amalan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (BPG, 1998). Amalan ini berlaku menerusi beberapa kemahiran yang perlu dikuasai oleh para guru sebagai pengurus bilik darjah yang baik:

Pengurusan pengajaran

  • Bahasa pengajaran
  • Perancangan strategi
  • Pengendalian aktiviti
  • Penggunaan teknologi

Membina iklim pembelajaran yang kondusif

  • Persekitaran bilik darjah
  • Suasana interaktif

Orientasi pelajar

  • Terhadap persekitaran
  • Terhadap keperluan sekolah dan bilik darjah
  • Terhadap kurikulum

Pelaksanaan Pengajaran Dalam Matematik (Bahagian 4)

Latihan yang berterusan dan pelbagai

Pengajaran dan pembelajaran matematik melibatkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran (NCTM, 1989; Cockroft, 1982; Skemp, 1987; Souviney, 1990; Nik Azis, 1992). Oleh yang demikian, penguasaan pelajar terhadap matematik tidak hanya bergantung kepada kefahaman konsep semata-mata. Latihan yang mencukupi perlu dilakukan dari masa ke semasa sehingga semua kemahiran dalam sesuatu tajuk benar-benar telah dikuasai sepenuhnya (D' Augustine, 1973).

Apabila bercakap tentang latihan dalam matematik, ramai yang beranggapan bahawa latihan tersebut hanyalah latihan bertulis sahaja. Sedangkan latihan untuk tujuan penguasaan kemahiran boleh dalam berbagai bentuk, sama ada secara tulisan, lisan , permainan dan simulasi atau dalam bentuk projek. Walau bagaimanapun latihan tersebut seharusnya:

  • Jelas dan jitu
  • Merangkumi semua kemahiran atau isi pelajaran dalam sesuatu topik.
  • Menguji kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran
  • Pelbagai bentuk atau variasi
  • Berkesinambungan dan saling lengkap melengkapi
  • Pelbagai aras kesukaran
  • Termasuk aktiviti pengukuhan dan pengayaan
  • Pengabungjalinan dengan topik dan subjek lain
  • Sama ada 'self-scoring' atau 'easily scored'

Latihan dalam matematik tidak hanya diperolehi dari buku teks atau buku kerja , malah ia boleh didapati di mana-mana sahaja dalam aktiviti kehidupan seharian (Flansburg, 1994). Oleh yang demikian, perancangan dan penyediaan soalan latihan hendaklah melibatkan pelbagai situasi dan merangkumi segala aktiviti kehidupan seharian. Tentu sekali , bentuk soalannya lebih tertumpu kepada aktiviti penyelesaian masalah. Terdapat sekurang-kurangnya tiga faktor utama yang mempengaruhi penguasaan matematik seseorang pelajar (Flansburg, 1994) :

  • Strategi am dalam operasi tambah, tolak, darab dan bahagi.
  • Ingatan (memory)
  • Latihan dan amalan yang berterusan



Pengayaan dan pemulihan

Ramai yang beranggapan bahawa aktiviti pengayaan untuk kumpulan pelajar yang cerdas manakala aktiviti pemulihan untuk kumpulan pelajar yang lemah. Sedangkan kedua-dua jenis aktiviti tersebut adalah sesuai dan boleh dirancang untuk kedua-dua jenis kumpulan pelajar, sama ada yang cerdas atau lemah (D'Augustine, 1973; Nik Azis, 1996)). Aktiviti pengayaan dan pemulihan merupakan kompenon yang penting dalam kurikulum pendidikan matematik KBSR dan KBSM (PPK, 1989). Aktiviti pemulihan merupakan aktiviti pengajaran yang berusaha menolong murid-murid untuk mengatasi masalah pembelajaran. Manakala aktiviti pengayaan ialah sejenis aktiviti tambahan yang lebih kompleks tetapi menarik dan mencabar (PPK, 1982). Aktiviti pengayaan juga sering digunakan untuk mengesan pelajar pintar di samping dapat mengasah bakat dan kreativiti. Kedua-dua aktiviti tersebut perlu dirancang dan dilaksanakan dengan teliti supaya ianya tidak membeban dan membazirkan masa pelajar. Aktiviti-aktiviti tersebut haruslah memenuhi kriteria-kriteria yang tertentu.

Aktiviti pengayaan mestilah dapat:

  • Melatih pelajar meningkatkan kebolehan dalam penyelesaian masalah
  • Menggalakkan pelajar memahami sifat dan skop matematik yang luas lagi menyeluruh
  • Mengembangkan daya kreativiti pelajar
  • Menggalakkan pelajar menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam kehidupan seharian.

Aktiviti pemulihan pula adalah perlu dilakukan apabila pelajar :

  • Tidak menghadiri kelas beberapa waktu / hari
  • Tidak dapat memberi tumpuan kepada isi pelajaran yang sedang diajar atau yang sebelumnya
  • Sering melakukan kesilapan ( khususnya dalam proses mengira )
  • Kurang menguasai konsep dan kemahiran asas yang diperlukan bagi sesuatu topik / konsep
  • Mempunyai masalah tidak tahu membaca atau kemahiran bahasa yang lain.
  • Menghadapi masalah lain yang agak serius seperti masalah peribadi, masalah mental (IQ yang rendah), masalah fizikal dan masalah gangguan emosi (psikologi).

Walau bagaimanapun masalah yang kronik dan kritikal seperti terencat akal, hilang upaya penglihatan dan pendengaran perlu kepada kelas pemulihan khas.